Wednesday, July 6, 2011

Solat @ Sembahyang @ Selawat (9)

Salam 1Malaysia. J Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan sekelian alam yang menjadikan kita yang dulu tiada kepada ada sekarang dan akhirnya di tiadakan lagi. Selawat dan salam buat kekasihNya Muhammad yang ditugaskan menjadi rahmat bukan sahaja buat mahluk yang bernama manusia tetapi juga bagi semesta alam.
“Tidaklah Aku mengutusmu kecuali untuk menjadi rahmat bagi semesta alam.” (Surah Al-Anbiya, ayat 107)
Kepada tuan2 yang mahu berfikir, teruskan berfikir semuga diberi hidayah. Muhammad itu bukan saja untuk bangsa Arab di Mekah. Bukan juga hanya untuk umat manusia di dunia ini. Bahkan tugas rahmatnya meliputi semesta alam. Dan apakah semesta alam itu? Terus lah berfikir. Moga2 terhurai maksud Syahadah Rasul yang sering dipertikai oleh sesetengah golongan bahawa ianya bidaah, ianya mensyirikkan Allah jika dibaca dalam solat, dan berbagai2 lagi pendapat. Semoga tersingkap kebenaran. Mudah2an.
Aku mulakan tulisan hari ini dengan ayat di atas untuk merangsang minda kamu semua. Amat penting bagi aku, kerana mengucap 2 kalimah syahadah itu, asas bagi Islam. Baca lah balik tajuk Syahadah dan cuba fahami dan pegang Syahadah ini kemas2.
Baik. Kita teruskan dengan cerita solat kita yang terbengkalai. Setelah bersiap2 kita berdiri tegak mengadap kedua2 kiblat syariat dan hakikat, bersiap lah kita untuk mengangkat takbir atau Takbiratul Ihram atau lebih tepat mengikut maksudnya “Mengharamkan diri”. Apa ke bendanya pulak ni? J Relax beb. Bukan ajaran sesat. Kita kupas satu2.
Kenapa disebut Takbiratul Ihram? Takbir tu takbir la. Semua tau kan. Ihram? Ihram bermaksud mengharamkan. Haramkan apa? Pada syariatnya, mengharamkan diri dari melakukan perbuatan2 yang membatalkan solat sebaik saja kita bertakbir. Apa perkara2 yang membatalkan solat? Yang tu korang cari la sendiri. Letih aku. Jadi sebaik saja kita mengangkat takbir, secara otomatik kita telah mengharamkan diri kita dari melakukan segala perkara2 yang akan membatalkan solat kita. Paham? So kalau korang kata masih boleh buat tu buat ni, suka hati kamu lah.
Seterusnya, pada hakikatnya, pemahamannya lebih dalam lagi. Apa yang diharamkan? Susah ni bila cerita halal haram. Nanti orang tanya apa nas, apa dalil, imam mana yang cakap. Pandai2 korang lah. Yang ni pendapat aku je. Yang ajar, cikgu aku. Cikgu yang mana? Mahaguru la! Mahaguru silat mana? J. Bukan la. Takde silat2. Takde yang lain selain Yang Maha Mengetahui.
Alhamdulillah. Salam Ramadan. Aku sambung. Maka apa yang sebenarnya diharamkan di tahap hakikat ketika kita qiyam untuk solat adalah diri kita. Wah! Macam mana ni. Kalau tak boleh bawa diri dalam solat, macam mana nak solat. Sapa pulak yang solat? Inilah rahsianya. Pada aku la. Mungkin pada korang tak sama. Terpulang kepada ilmu masing2 yang Mahaguru bagi. Di bawah tajuk wuduk, ada satu komen dari saudara Ismail, tuan blog yang berjudul "Hakikat Insan Hakikat Penciptaan". Dia menyatakan bahawa untuk masuk ke dalam solat, tidak boleh bawa diri. Tuhan tak redho. Maka hari ini, aku sampai pada bab ni. Hari ini, saudara Ismail dah menjadi salah seorang sahabat saya di jalan ini. Blognya telah pun beliau tutup, setelah mendapat isyarat dari Tuan punya segala ilmu. hehe. Dan dalam tajuk ini, saudara Abdelhmyd pulak ada bertanya "Dah tu, sape pulak yang mengerjakan solat & menuju kejayaan bile kita ni dah tentu tiada daya upaya & kuasa? Insyaallah hari ni terjawab.
Diri terbahagi kepada 4. Diri terdiri. Diri Terperi. Diri Sebenar Diri. Diri Tajalli. Siapa yang ada belajar Sifat 20 tentu pernah dengar benda2 ni. Diri Terdiri ni zahir kita atau jasmani. Diri Terperi pulak adalah batin kita atau rohani. Diri Sebenar Diri ini lah yang disebut Insan Kamil juga difaham sebagai Nur Muhammad. Akhir sekali adalah Diri Tajalli iaitu Diri Zat. Kalau nak tau apa ke bendanya Diri2 ni semua, korang cari la guru mursyid yang bijak pandai untuk menerangkannya. Aku tau temberang je. hehe. Sebenarnya, 2 atau 3 minggu lepas aku dah terjumpa satu website yang agak terperinci menceritakan tentang pengetahuan mengenal diri ni. Aku sertakan linknya kat sini. Korang bacalah kat link bawah ni kalau nak tau pasal benda2 ni. Senang kerja aku. Aku rasa blog ni salah satu yang paling lengkap pasal cerita2 dongeng mengenal Allah mengenal diri. Syabas tuan blog.
Sebab tu la aku malas nak tulis pasal benda2 ni coz banyak sang arif yang dah tulis kat internet ni. Jadi untuk kemudah fahaman tuan2 yang kurang jelas atau pening2 lalat bila baca pendekatan ilmiah tu, aku ambil pendekatan gunakan bahasa2 mudah cara aku ni.
Ok. Mengikut kefahaman aku, yang tak boleh dibawa semasa kita memasuki solat adalah, kesedaran wujud diri kita. Di topik wuduk, ada aku sebutkan mengenai penceraian kan. Penceraian bermaksud kita menceraikan diri kita dari wujud diri iaitu balik kepada kosong yakni wujud ma'dum secara menafikan wujud diri kita ini. Lafaznya "La Haiyun, La 'Alimun, La Basirun, La Samiun, La Qodirun, La Muridun, La Mutakalimun". Sebenarnya ianya adalah untuk mengembalikan semua sifat2 ma'nawiyah (yang Tuhan pinjamkan) balik kepada sifat ma'ani Nya. Begitu juga Zat Diri kembali kepada Zat Nya.
Setelah, semuanya dikembalikan kepada Yang Haq, maka complete lah penceraian itu. Lalu, apa yang tinggal? Yang tinggal kosong lah. Jadi selepas bercerai, barulah masuk kepada penyatuan. Maksud penyatuan di sini macam2 mengikut kefahaman masing2. Ada yang kata bersatu dengan Allah. Ada pulak yang kata kembali menjadi Tuhan. Ada yang kata Manunggaling Kawula Gusti. Ada pulak yang kata Ana Al Haq. Di sini lah asal usul timbulnya, salah faham, perbezaan pendapat dan tuduh menuduh di antara para alim ulama' baik yang syariat ke atas hakikat ataupun di antara hakikat dengan hakikat sendiri. Minta di jauhkan Allah. Sama2 lah kita memohon kepadaNya agar terus dirahmatiNya perjalanan kita di atas jalan yang lurus untuk kembali kepadaNya.
Macam selalu aku cakap, ilmu ni ilmu rasa. Rasa sejati. Bukan rasa perasaan. Atau rasa perasan. Apa bezanya? "Rasa sejati" membawa kepada kebenaran, khusyuk dan tawaduk, kesedaran dan rendah diri. "Rasa perasaan" pula, kita terbawa2 mengikut perasaan lalu terpacul lah pelbagai kata2 di luar kesedaran. Aku lah kebenaran. Aku lah Tuhan. Harus diingat bahawa kata2 sebegini ada kebenarannya di dalam pengembaraan kerohanian/kebatinan sang salik. Maknanya ianya berlaku di luar kesadaran. Orang putih kata "in trance". Orang melayu kata "khayalan". Orang bijak pandai kata "alam fana". Ketika berlaku pengalaman itu, yang merasakannya adalah diri sebenar dirinya. Bukan diri zahirnya. Bukan di alam nyata. Ini cuma pendapat aku. Mungkin tuan2 ada pendapat yang lain. Terpulang. Dan akhirnya, "rasa perasan" pula, ianya adalah hasil dari rasa perasaan tadi, lalu mula la perasan. haha. Perasan apa? Perasan "aku lah Tuhan". Perasan "aku lah kebenaran". Dan kata2 ini pula diucapkan di dalam kesadaran. Nauzubillah.
Dek kerana ini lah, aku di awal2 blog ni dah bagi warning. Ingat intipati Surah Al Ikhlas. Lepas tu ingat sifat Tuhan yang " Laisa kamislihi syai'un" (tidak sama dengan sesuatu pun yang baru"). Mudah2an dijauhkan kita dari rasa2 perasaan dan perasan ini pada kita. Kita lihat apakah natijahnya kedua2 rasa ini. Apabila kita percaya bahawa "aku lah tuhan", maka ada yang menyatakan dah tak perlu solat dah. Hukum tu aku yang punya. Sukati aku lah. Seterusnya, apabila percaya pulak "akulah kebenaran", maka ada yang menyatakan, aku saja lah yang betul. Orang lain tak betul. Orang tu sesat. Jatuh lah hukum di sana sini ikut suka dia. Wallahu alam. Aku agak la. hehe.
Waa. Manyak jauh wa sudah lari tajuk. Ok la. Jadi masa kita qiyam selepas penceraian (oh ye, saudara Abdelhmyd kata serah diri = aku kata kembali kepada Allah = melenyapkan diri = mati), kita masuk lah ke penyatuan dengan lafaz "Allahu" (nama Zat) = isyarat "surrender" = tangan mengangkat takbir di sebelah tepi telinga dan lafaz "Akbar" = isyarat "mati" tangan kiri atas pusat, tangan kanan atas tangan kiri, ibu jari dan telunjuk kedua2 tangan memeluk pergelangan tangan yang satu lagi. Bila dah mati, tamat lah tugas kita. Macam naik kereta gear auto. Lepas tu, Zat yang bernama Allah take over la solat tu. Lepas tu aku tak tau dah. hehe. Aku dah mati kan :).
Jadi kesimpulannya, dalam solat, pada syariatnya, si hamba yang bernama manusia menyembah Tuhan nya sesuai dengan banyak ayat2 AQ mengenai penyembahan yang diantaranya adalah:
Surah Az Zariyat Ayat 56 "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku".
Surah Thoha Ayat 8 "Allah! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, bagi-Nyalah segala nama yang baik".

Manakala, pada hakikatnya diri yang sebenar diri kembali kepada Zat, Zat dan Sifat saling puji memuji sesuai pula dengan ayat2 AQ yang berikut:
Surah An Nisaa' Ayat 126 "Kepunyaan Allah-lah apa yang di langit dan apa yang di bumi, dan adalah Allah Maha Meliputi segala sesuatu."
Surah Al Fushshilat Ayat 54 "Ingatlah bahwa sesungguhnya mereka adalah dalam keraguan tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah bahwa sesungguhnya Dia Maha Meliputi segala sesuatu."
Surah AlBaqarah Ayat 138 "Sibghah (agama) Allah; dan siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah? dan kepada-Nyalah kami beribadat."
Surah AlBaqarah Ayat 16 "Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.

Wednesday, June 22, 2011

Solat @ Sembahyang @ Selawat 8

Alhamdulillah. “Segala puji hanya bagi Allah yang kalau tidak keranaNya tidak bergerak walau sebarang zarah pun di seluruh alam”. Maaf kerana lama tak menulis. Tahun 2011 ni langsung aku tak tulis lagi. Sebok dengan perintah2Nya yang lain. Insyaallah, kalau tuan2, kamu2 semua dapat memahami ayat yang aku tandakan “dalam kurungan“ di atas, faham lah kamu. Kalau tidak, tidak ler. Hehe.

Aku sambung cerita solat yang terbengkalai dekat 6 bulan tu. Setelah siap kita berdiri mengadap kiblat yakni Qiyam, maka sedia lah kita untuk masuk ke dalam pekerjaan solat seterusnya iaitu Takbiratul Ihram. Sebelum tu, elok aku senaraikan Rukun Solat kat sini supaya senang nak kita rujuk.

RUKUN SOLAT ADA 13 PERKARA :

1. Niat
2. Berdiri bagi yang mampu
3. Takbiratul ikhram
4. Membaca Al-fatehah
5. Ruku’
6. I’tidal
7. Sujud
8. Duduk diantara dua sujud
9. Duduk pada tahiyyat akhir
10. Membaca tahiyyat akhir
11. Membaca shalawat Nabi
12. Salam
13. Tertib

Kalau ikut senarai ni, dia kata niat dulu. Betul lah tu. Tapi ada juga senarai yang aku pernah baca yang kata, berdiri dulu baru niat. Tak kisah la tu. Buat lah ikut ilmu yang kau dapat. Kalau kita cari dalam AQ, tak jumpa senarai ni. Hehe. So, tak payah gaduh2. Benda kecik je tu. Nak tau besar kecik, senang je. Kalau benda yang terang2 Tuhan sebut dalam AQ, yang tu besar tu. Kalau takde, kecik la tu. So, gunakan lah akal yang Tuhan bagi bersekali dengan ilmu yang ada.

Sekadar perbincangan, pada aku, niat ni dalam hati. Bila kat dalam hati ni maknanya rahsia la. Bila rahsia, maknanya apa? Kau dengan Tuhan je tau. Setuju? Kalau tak setuju, tolong komen.

Aku nak guna satu ayat yang selalu kita ucapkan bila dengar khabar ada orang meninggal. “Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un”. Maksudnya apa? Ayat ini adalah sebahagian dari Surah Al-Baqarah, Ayat 156 yang ayat sepenuhnya bermaksud begini.

"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh suatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Jadi, buat seketika, ramai dari kita, sedar bahawa kita ini semuanya adalah hakmilik Allah dan kepada Allah jua lah kita akan kembali. Aku guna perkataan “buat seketika” ada sebab. Sebabnya, bila orang mati je kita ingat yang kita ini hak milik Allah. Kalau takde orang mati, kita tak ingat. Kenapa perlu begitu? Kenapa tidak kita selalu beringat atau sentiasa ingat bahawa kita ni hak milik Allah? Kan bagus begitu. Kenapa bagus? Sebab bila sentiasa ingat kita ni hak Allah, baru la kita sentiasa ingat Allah. Bila sentiasa ingat Allah, baru la kita sentiasa ingat akan ayat2 Dia. Ajaran2 Dia. Suruhan2 dan tegahan2 Dia. Kan best kalau macam tu. Baru la boleh jadi insan kamil. Kamil mukammil. Dan entah apa lagi yang sama makna dengannya. Jauh dah aku melalut.

Ok la. Balik kita pada cerita niat tadi yang aku cakap hanya kita dengan Tuhan saja yang tau. Rasa2nya, Tuhan tau dulu ke; kita yang tau dulu niat kita? Kat sini aku nak guna ayat ni pulak yang selalu jugak kita gunakan hari2. Ia juga dikatakan salah satu zikir yang amat disarankan oleh Rasulullah Muhammad untuk kita amalkan. Kalau nak tau kenapa Rasulullah rekomen kuat ayat ni, korang cubalah amalkan. Ayat Hawqalah atau kalimah Toyyibah ini ialah:

"“Laa hawla walaaquwwata illa billahil’aliyil’adziim” yang terjemahannya bermaksud lebih kurang begini“ Tiada daya upaya melainkan dengan bantuan Allah dan tiada yang lebih berkuasa selain dia”

Dengan faham akan maksud ayat hawqalah ni, kita berbalik pada soalan aku tadi, sapa yang tau dulu akan niat solat kita, Tuhan atau kita? Tuan2 cuba jawab la sendiri. OK cukup la tu untuk merangsang minda korang.

Sebenarnya, masa kita dalam kereta sedang tercari2 surau atau masjid untuk menunaikan solat waktu atau solat apa saja, niat tuan2 dah terpasang dah. Tak begitu? Kalau tak, tak mungkin, tuan2 akan cari masjid kan. Turun dari kereta, tuan2 terus ke tempat wuduk, tak lain tak bukan untuk memenuhi kehendak niat tuan2 tadi. Niatnya apa? Nak tunaikan solat. Jadi akan berturut2an lah segala proses bermula dari drive ke masjid, ambil wuduk, kalau yang bawak kain pelikat, tukar kain dulu, sehinggalah tuan2 berdiri qiyam sebelum mengangkat takbir.

Masih nak berniat lagi? Ingat ya, lafaz niat dengan niat tak sama. Mengikut rukun solat tadi, dia nak yang mana? Niat ke lafaz niat? Hahaha. Jawab jangan tak jawab. Kalau tak tau, biar aku jawab. Cukup lah dengan niat. Kalau lafaz niat yang tu kat mulut. Ambik yang simple je. Maknanya, niat yang terbit di hati sanubari korang tadi masa driving tu, cukup lah. Yang dok sebok nak “usalli usalli” 4 5 kali masa nak takbir tu apahal? Mengacau konsentrasi orang sebelah kau nak solat je. Tak pasal2 kena maki. Ko tau apa orang sebelah tu maki kau dalam hati? Hahaha.

Kalau kau risau sebab tak lafaz “fardhol Zohri atau Asri” maka sebab tu kau nak lafaz niat jugak, ok aku nak tanya. Masa kau masuk masjid tadi waktu apa? Zohor ke asar? Masa niat kau terbit dalam hati sanubari kau tengah drive kereta tadi, masa tu masuk waktu apa dah? Jadi niat dalam hati sanubari kau tadi, tentu ada tercatat “aku nak solat zohor ke asar ke” kan. Tak begitu? So, sekarang kau tengah qiyam ni nak solat apa, tentu kau sendiri dengan Tuhan dah tau kan? Yang kau nak lafaz lagi tu nak bagi sapa tau dan dengar? Tak cukup ke Tuhan tau kau nak solat? Nak bagi tau satu masjid ke? Sebenarnya satu masjid pun dah tau kau nak solat. Kalau tak buat pe kau dah tercongok berdiri qiyam tu. Hahaha. Itu lah yang dinamakan niat. Kalau kau nak tau lebih lagi, bacalah blog2 lain pasal niat solat. Aku gerenti, pening kepala kau. Hahaha.

Tapi kalau korang masih nak “usalli usalli” lagi, terpulang la. Kata nak belajar mengenal diri, hakikat, makrifat. Tapi masih degil kuat dengan syariat yang tak bertempat. Tak berani nak cuba. Buat lah ikut ilmu yang kau dapat. Bukan niat aku nak kutuk syariat ye. Yang ni contoh. Terpulanglah. Boleh je, tapi jangan baca kuat2 dan jangan banyak2 kali. Takut ganggu orang sebelah kau solat.

Bertahun la nampaknya nak baca bab solat kat blog aku ni kan. Baru qiyam nak takbir. Tak jugak masuk2 solat lagi. Pasal niat je pun, berjela2. Sebenarnya, ni lah yang di katakan cubaan. Hehehe. Nak dapat ilmu kena la bersabar. Kalau nak cepat, banyak lagi blog2 pasal solat yang korang boleh baca. Kat blog aku ni, slow. Sebabnya, bila aku sentuh je bab niat ni tadi, dah macam2 Dia hantar kat kepala hotak aku ni. Takde maknanya aku memerah otak, sebab takde apa dalam otak aku pun. Korang dah baca ayat hawqalah tadi kan. Apa maksudnya? Tiada daya upaya aku, kecuali Dia.

Aku sambung lain kali la...bab qiyam ni.

Akhir kata aku sertakan sedikit kata2 ini yang aku jumpa bila aku revised kitab Ihya Ulumuddin. Terpulang kat korang nak cuba, try, tengok.

Berkata Imam Ghazali :

Aku berhasil terbuka segala hal serta mendapat barokah kerana aku melakukan wirid ini :
1. Hari jumaat membaca “YA ALLAH” 1,000 kali.
2. Hari sabtu membaca “LAA ILAAHA ILLALLAH” 1,000 kali.
3. Hari minggu membaca “YAA HAYYU YAA QAYYUM” 1,000 kali.
4. Hari isnin membaca “LAA HAWLA WALAA QUWWATA ILLA BILLAHIL ’ALIYIL’ ADZIIM” 1,000 kali.
5. Hari selasa membaca Selawat 1,000 kali.
6. Hari rabu membaca Istighfar 1,000 kali.
7. Hari kamis membaca “SUBHAANALLAHIL’ADZIIM WABIHAMDIHI” 1,000 kali.

Untuk mensucikan niat, mulakan dengan “Ilahi anta maksudi, wa ilahi anta maksudi”. Semuanya ke Dia. Kalau dapat apa2, 10 persen ek. Hehehe.